Friday, August 7, 2009

Jurnal Minggu Ke-7

Tarikh : 07 OGOS 2009

Peristiwa : Sesi P&P bagi Matapelajaran Kemahiran Hidup

Masa : 08.00 – 09.30 pagi


Pemilihan Fokus:

Pemilihan fokus pada hari ini adalah tentang sesi P&P bagi matapelajaran Kemahiran Hidup.


Menganalisis:

Matapelajaran Kemahiran Hidup Perkebunan merupakan satu matapelajaran yang amat sesuai dan bertepatan bagi murid-murid pendidikan khas. Selain daripada, ilmu pengetahuan yang mereka perolehi, mereka juga dapat kemahiran untuk melakukan aktiviti harian dan meneruskan hidup di masa akan datang. Sesuai dengan cara hidup di kawasan ini, cara hidup bercucuk tanam dan berkebun maka pemilihan untuk memberi input mengenai perkebunan amat bermanfaat.


Perasaan / Bisikan Hati

Hari ini merupakan hari yang amat meletihkan ku. Selepas bersahur kira-kira jam 3.45 pagi aku dan tiga lagi rakan praktikum memulakan perjalanan dari Tuaran ke SK Pekan 2 Ranau. Meredah kabus di pagi hari ini, membuka mata ku betapa sukarnya untuk menimba ilmu pengetahuan, betapa sukar untuk menjadi seorang guru. Terdetik di hati ku, betapa ruginya kawan-kawan yang hanya praktikum di kawasan Kota Kinabalu, tidak dapat pengalaman sebegini. Tapi terlalu awal untuk aku mengadili takdir, sedangkan mungkin mereka juga melalui pengalaman praktikum lain yang lebih hebat daripada yang aku lalui. Masing-masing dengan rezeki masing-masing. Perjalanan dari Tuaran ke Ranau di awal pagi ini kelihatan lengang, hanya kelihatan lori-lori besar yang sarat membawa muatan menyusuri jalan raya. Sesekali berada di belakang lori, membuat aku marah kerana pergerakannya yang lambat. Dengan kepanjangan dan kelebaran kenderaan ini membuatkan aku sukar untuk memintasnya, keadaan jalan raya yang berliku juga tambah menyukarkan lagi. Namun, kenapa aku harus emosi sedangkan dia juga berhak ke atas jalan raya ini. Astagfirullahalzim.. aku beistigfar seketika. Kalau diikutkan rasa hati tidak mahu kami berulang-alik dari Tuaran ke Ranau, namun kerana kami harus menyelesaikan urusan pengisian borang penempatan di IP maka kami harus menurut perintah. Teringat aku pada perkataan “Saya yang menurut perintah” yang wajib ada dalam setiap surat rasmi. Bijaknya mereka yang mencipta ayat itu...

Ketibaan kami di sekolah pada jam 6.49 pagi disambut dengan senyuman beberapa murid yang telah tiba lebih awal. Masing-masing menghulurkan tangan untuk bersalaman dan mengucapkan selamat pagi. Setelah menandatangani rekod kehadiran di pejabat kami mengatur langkah ke kelas Pendidikan Khas memulakan tugas. Rutin harian dimulakan dengan memberus gigi pada jam 7.00 pagi. Semua pelajar melakukan rutin ini. Pada jam 8.30 pagi kami memulakan sesi P&P. Sesi P&P aku pada hari ini adalah bagi matapelajaran Kemahiran Hidup (Perkebunan). Hari ini murid kelas Matahari hanya sebanyak empat orang. Kelas dimulakan dengan ucapan “Selamat Pagi Cikgu”, tapi hari ini ucapan selamat pagi cikgu berbeza sedikit dari ucapan yang lepas kerana ucapan hari ini diucapkan dengan nada ucapan seperti dalam cerita ‘Upin dan Ipin”. Betapa hati aku tersentuh, kerana baru sahaja dua hari lepas aku mempertontonkan video itu kepada mereka dan hari ini mereka telah mengaplikasikannya dalam sesi P&P. Aku tahu mereka semakin bijak, jika diasah dan diasuh mereka pasti boleh.

Kemahiran yang diajar hari ini adalah berkaitan dengan kemahiran mengenal “Tumbuhan Hiasan”. Beberapa gambar yang aku jadikan kad imbasan menarik perhatian mereka. Mungkin warna-warni yang membuatkan mereka tertarik. Setelah mengedarkan kad imbasan, aku menyerahkan benda maujud tumbuhan hiasan kepada mereka. Model tumbuhan hiasan ini aku hasilkan menggunakan polysterin. Aku mahu mereka fokus dan dapat mengenal dengan sebaik mungkin tentang tumbuhan hiasan. Setelah itu, aku membawa semua murid Matahari ke luar kelas. Aku mahu mereka menunjukkan seberapa banyak tumbuhan hiasan yang ada di sekitar sekolah. Aktiviti luar bilik darjah ini amat menyeronokkan. Masing-masing berlumba-lumba menunjukkan tumbuhan hiasan. Walaupun tumbuhan yang mereka tunjukkan bukan tumbuhan hiasan tetapi mereka tidak pernah putus asa. Mereka mengambil perhatian ku dengan ayat “Cikgu ni tumbuhan hiasan”. Setelah itu, aku memberikan mereka lembaran kerja untuk pengukuhan. Sesi soal jawab dan penutup dilakukan seperti yang telah dirancang dalam RPH.


Kesedaran dan Harapan

  1. Saya berharap saya mampu mengubah sikap ke arah yang lebih positif. Saya tidak mahu mengadili sesuatu sebelum mengetahui dengan lebih mendalam tentang sesuatu itu.
  2. Saya berharap untuk sesi yang akan saya dapat membawa murid ke luar bilik darjah lagi. Aktiviti ini amat menyeronokkan. Selain daripada dapat memberi pendedahan kepada mereka mengenai sesuatu dengan lebih jelas lagi, mereka juga dapat menenangkan fikiran.
  3. BBB yang menarik dapat menarik minat mereka untuk belajar. Mereka lebih fokus, lebih banyak soalan yang mereka ajukan. Aku berharap aku akan lebih kreatif lagi dalam menghasilkan BBB.

Tempoh Penyelesaian

- 07 Ogos 2009 – 18 September 2009


Kesimpulan / Refleksi

Alhamdulillah, sesi P&P aku berjalan lancar pada hari ini. Objektif yang aku sasarkan juga tercapai. Aktivit-aktiviti yang dirancang telah dibuat dengan jayanya. Hari ini aku berasa sangat puas dengan semua aktiviti yang aku rancangkan. Mungkin terdapat kesilapan di sana-sini namun ini sudah memadai pada aku. Aku akan berusaha sebaik mungkin untuk mengatasi segala kelemahan dan kekurangan agar sesi P&P aku mudah difahami dan diikuti oleh semua murid.

0 comments: