Sunday, May 9, 2010

Programe Plan

Tuesday, August 11, 2009

JURNAL KE-2 MINGGU KE-8

Tarikh : 11 OGOS 2009
Peristiwa : Penilaian Kali ke-4 Oleh Pensyarah Pembimbing
Masa : 08.30 – 09.30 pagi

Pemilihan Fokus:

Pemilihan fokus pada kali ini adalah tentang penilaian kali ke-4 oleh Pensyarah Pembimbing.

Menganalisis:

Penilaian kali ini adalah amat penting bagi saya dan seorang lagi rakan seperjuangan kerana penilaian kali ini adalah penilaian kali terakhir untuk menentukan sama ada kami berdua akan dipilih sebagai calon yang akan direntas bagi praktikum KPLI ambilan Januari 2009. Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran kali ini.

Perasaan / Bisikan Hati

Hari ini sepatutnya saya bersedia untuk dinilai oleh Guru Pembimbing. Dari semalam, saya berasa sangat risau tentang sesi P&P yang akan saya kendalikan hari ini. Bukan saya tidak bersedia dari segi kaedah, RPH serta perancangan aktiviti tetapi saya berasa risau tentang masalah tingkah laku murid di kelas Melati yang tidak senang duduk diam. Mereka mudah hilang fokus dan cepat bosan. Oleh itu, saya perlu menyediakan banyak aktiviti agar sesi P&P menjadi menarik dan mencabar kebolehan mereka. Selain itu, ini bukanlah kali pertama saya dinilai oleh Guru Pembimbing tapi entah kenapa rasa risau menguasai diri saya. Saya takut tidak dapat mencapai objektif yang saya sasarkan pada hari ini. Hari ini sesi Pengajaran dan Pembelajaran saya adalah matapelajaran Matematik untuk kelas Melati. Objektif yang saya sasarkan untuk kumpulan 1 yang terdiri daripada Vicherly, Azmi dan Mohd Ariffy yang mempunyai masalah lembam ialah:

i) Murid dapat mendengar dan mematuhi arahan guru.

ii) Murid dapat menulis 3 nombor dari 5 nombor yang diperkenalkan oleh guru.

iii) Murid dapat mengikuti aktiviti yang dibuat oleh guru.


Manakala objektif yang saya sasarkan bagi kumpulan 2 yang terdiri daripada Khalidah Syazana, Mohd. Shafiq, Jerome, Fairus dan Ronald yang mempunyai masalah Syndrome down, ADHD Disleksia, lembam ialah:

i) Murid mendengar dan mematuhi arahan guru.

ii) Murid dapat menulis 1 nombor daripada 5 nombor yang diperkenalkan oleh guru.


Sedang saya bersedia untuk dinilai oleh Guru Pembimbing tiba-tiba guru pembimbing saya memberitahu saya tentang kedatangan Pensyarah Pembimbing. Saya berasa sangat terkejut, debaran semakin kuat. Ini merupakan kali ke-3 pensyarah pembimbing saya datang mengejut. Alhamdulillah, nasib baik saya sentiasa bersedia untuk sesi P&P bagi matapelajaran Matematik ini. Saya tidak tahu kenapa saya amat berminat dengan matapelajaran matematik ini. Menurut kata guru pembimbing saya, saya semakin kreatif membuat pemilihan material dan aktiviti yang sesuai untuk aktiviti P&P bagi matapelajaran matematik. Namun, semua ini adalah hasil usaha saya menelaah beberapa buku panduan pengajaran, mencari bahan di internet dan juga perbincangan bersama guru pembimbing. Tidak saya nafikan guru pembimbing banyak membantu dalam membuat pemilihan aktiviti P&P yang saya rancangkan. Beliau yang juga merupakan satu-satunya guru Matematik di aliran Pendidikan Khas sekolah ini. Oleh itu, tidak hairanlah jika beliau amat berpengalaman dalam menyalurkan idea serta kritikan membina mengenai aktiviti P&P yang saya rancang. RPH pada hari ini juga telah diaudit oleh beliau.


Sebagai permulaan pensyarah pembimbing melihat dokumentasi saya dan seorang lagi rakan guru praktikum (Cik Fredorine). Pelbagai komen saya terima daripada pensyarah pembimbing. Komen ini merupakan satu komen yang baik bagi memperbaiki dan menambahbaik lagi dokumentasi saya. Tidak banyak yang perlu saya perbaiki dalam dokumentasi ini, hanya penulisan refleksi yang perlu ditambahbaik memandangkan sebelum ini penulisan refleksi saya agak tidak menepati format yang digariskan oleh pensyarah pembimbing. InsyaAllah, saya akan perbaiki penulisan refleksi ini pada refleksi yang akan datang.


Sesi P&P saya bermula dengan set induksi nyanyian lagu “Anak Ikan Lompat-Lompat” dan “Anak Ayam”. Namun, dalam RPH cuma tercatat nyanyian lagu “Anak Ikan Lompat-lompat” namun atas permintaan dari murid kelas Melati ini yang minta mahu menyanyikan lagu “Anak Ayam” maka saya menayangkan klip video “Anak Ayam” dan semua murid kelas Melati menyanyikan lagu ini sambil bergerak mengikut lirik lagu. Meraka sememangnya amat gemar menyanyikan lagu dan menari terutamanya Jerome dan Azmi. Pada hari ini saya menyediakan 5 aktiviti, iaitu:

i) Memperkenalkan nombor melalui slide nombor, kad imbasan dan bahan atau objek maujud.

ii) Membilang objek melalui objek atau benda yang ada dalam lukisan.

iii) Menulis nombor : di udara, di atas kertas dan di atas tepung.

iv) Membentuk nombor menggunakan plastesin.

v) Menyiapkan lembaran kerja:

(a) Menekap nombor di atas kertas putih.

(b) Mewarna nombor.

(c) Menyambung titik-titik / garisan putus-putus menjadi nombor.

Aktiviti pertama saya adalah memperkenalkan nombor melalui slide gambar nombor . Slide nombor yang saya pertontonkan juga amat menarik minat murid, gaya slide saya yang melayang-layang diikuti dengan bunyi tepukan serta berwarna-warni cukup menarik minat mereka.

Pemilihan Bahan Bantu Belajar (BBB) yang terdiri dari bahan maujud seperti guli dan bola kecil amat menarik minat mereka. Namun, guli yang saya berikan tidak akan dipulangkan kepada saya tetapi itu tidak menjadi masalah pada saya kerana itu juga sebagai salah satu galakan peneguhan positif agar mereka bertambah seronok untuk melakukan aktiviti dalam sesi P&P ini. Kebanyakkan murid kelas Melati tahu membilang dan mengenal nombor 6 hingga 10 namun penguasaan mereka tidak lama. Mereka mudah lupa. Oleh itu, saya sedar bahawa saya tidak boleh memperkenalkan mereka dengan banyak nombor seperti hari ini. Untuk sesi yang akan datang saya akan memperkenalkan mereka dengan 1 atau 2 sahaja nombor. Memperkenalkan mereka dengan banyak nombor cuma akan membuat mereka bosan dan keliru.


Aktiviti kedua saya pada hari ini adalah membilang objek atau benda yang ada dalam lukisan dan melekatkan bilangan objek atau benda tersebut. Lukisan ini adalah hasil kerja tangan saya sendiri. Walaupun tidak cantik dan sesempurna lukisan pelukis terkenal namun saya berpuas hati kerana ini merupakan lukisan kedua yang saya hasilkan seumur hidup saya. Pada mulanya saya khuatir aktiviti ini membosankan mereka kerana saya pernah melakukan aktiviti ini pada sesi yang lepas namun sangkaan saya meleset mereka sangat sukakan aktiviti melabel lukisan ini. Saya bertekad dan berusaha untuk memperbaiki mutu lukisan saya agar dapat menarik perhatian mereka dan menyemai minat mereka untuk melukis. Selain itu, aktiviti seterusnya adalah menulis nombor di udara, di atas kertas dan di atas dulang yang telah ditabur dengan tepung. Aktiviti menulis nombor di udara amat menarik kerana penulisan mereka tidak kelihatan dengan mata kasar. Walaupun aktiviti ini menarik namun, kelemahan yang dapat dikenalpasti oleh Pensyarah Pembimbing saya ialah kesalahan tidak dapat dilihat. Mungkin saja penulisan nombor di udara dibuat secara songsang. Contohnya:


Penulisan nombor di atas kertas adalah aktiviti biasa-biasa saja. Murid-murid biasa melakukan aktiviti ini. Semua murid dapat melakukan aktiviti ini. Walaupun aktiviti ini biasa dilakukan namun mereka tetap melakukannya. Saya berasa kagum dengan sikap mereka ini. Selain itu, aktiviti menulis juga saya lakukan di atas tepung yang saya tabur di dalam dulang yang diperbuat daripada sugar paper yang berwarna hitam. Aktiviti menulis nombor di permukaan dulang yang ditabur dengan tepung sememangnya menarik minat murid. Walaupun aktiviti ini mengotorkan tangan namun mereka berasa sangat seronok melakukan aktiviti ini. Selepas meminta mereka menulis satu nombor di atas permukaan tepung saya akan mengambil gambar bagi setiap penghasilan nombor yang baik. Mereka berlumba-lumba menghasilkan penulisan nombor yang baik. Seperti biasa murid yang perlu dibimbing adalah Mohd. Shafiq, Jerome dan Khalidah Syazana. Mereka bukan tidak tahu membilang nombor 6 hingga 10 tetapi mereka tidak dapat mengenal nombor tersebut. Apabila saya meminta mereka membilang nombor 1 hingga 10 mereaka dapat membilang dengan baik kecuali Khalidah Syazana.

Aktiviti membentuk nombor dengan plastesin juga menarik minat mereka, walaupun saya hanya meminta mereka menghasilkan nombor 6 hingga 10 tapi bermacam-macam nombor dan bentuk mereka hasilkan. Saya tidak membantah apatah lagi melarang mereka membentuk nombor lain selain 6 hingga 10, pada saya yang penting mereka faham dan mampu membentuk nombor tanpa bantuan saya. Saya mahu mereka dapat berdikari dan mengenal nombor dengan baik.


Pada hari ini saya telah menyediakan 3 lembaran kerja. Walaupun ini agak banyak untuk aras murid-murid ini, tapi saya beranggapan lembaran kerja ini perlu disediakan agar mereka berasa tercabar dan sebagai 1 latih tubi. Jika masih banyak masa selepas saya habis membuat aktiviti saya akan memberikan mereka lembaran kerja ini, selain dapat mempertajamkan daya ingatan mereka, lembaran kerja ini juga dapat merangsang pergerakan motor kasar dan motor halus mereka. Pada saya itu lebih penting. Berikut adalah lembaran kerja yang saya sediakan pada hari ini.

Di akhir sesi pengajaran dan pembelajaran hari ini saya mengemukakan soalan mengenai tajuk pembelajaran hari ini. Semua murid dapat menjawab dengan betul bahawa topik pembelajaran pada hari ini adalah tentang nombor iaitu nombor 6 hingga 10. Oleh kerana saya tahu mereka amat berminat dengan nyanyian dan tarian maka saya meminta murid-murid menyanyikan semula lagu “Anak Ikan Lompat-Lompat” dan membuat pergerakan mengikut lirik lagu.

Kesedaran dan Harapan

  1. Saya sedar bahawa Rancangan Pengajaran Harian (RPH) saya pada hari ini amat menarik. Namun, 5 nombor yang saya perkenalkan hari ini terlalu banyak untuk murid-murid Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (Kelas Melati). Untuk sesi yang akan datang saya akan memperkenalkan satu atau dua nombor sahaja.
  2. Saya juga sedar bahawa saya perlu lebih banyak aktiviti P&P yang menyeronokkan. Dengan aktiviti yang banyak dan pelbagai akan membuatkan mereka tidak mudah bosan. Satu perkara yang saya kenalpasti mereka tidak betah duduk lama di dalam kelas terutamanya Azmi dan Vicherly. Dengan keadaan kelas yang tidak kondusif membuat masalah ini bertambah rumit. Namun saya akan cuba sebaik mungkin menarik perhatian mereka.
  3. Harapan saya, murid kelas Melati akan dapat membilang dan mengenal nombor hasil daya usaha saya sendiri.

Cadangan / Tindakan

  1. Kelas yang tidak kondusif ini telah pun diambil maklum oleh Penyelaras dan guru-guru PKBP di sekolah ini. Saya diberitahu akan dibuat patisyen bagi membahagiakan antara stesen/kelas. Namun, bilakah akan dibuat tidak dapat dipastikan. Tidak ada pula usaha untuk membuat kelas ini seakan-akan tertutup sedikit bagi mengelakkan murid berkeliaran. Saya bercadang untuk membina pagar-pagar kecil bagi membina benteng antara laluan utama dengan Stesen Matematik ini. Dengan murid yang lalu lalang dan menganggu sesi P&P saya menyebabkan murid kelas Melati tidak dapat fokus.

  1. Tindakan yang telah diambil : Saya telah berbincang dengan rakan-rakan iaitu guru praktikum yang lain agar membantu saya menjaga kelas lain sewaktu P&P saya dinilai. Ini juga merupakan saranan daripada Pensyarah pembimbing saya, bahawa murid dari kelas lain yang datang mengganggu sesi P&P akan menyebabkan saya gagal dalam mengawal kelas. Saya berharap untuk sesi yang akan datang, rakan praktikum yang lain akan sudi membantu saya lagi. Terima Kasih semua.

Tempoh Penyelesaian

- 11 Ogos 2009 – 14 Ogos 2009

Tindakan Susulan

  1. Berbincang dengan Pensyarah Pembimbing mengenai komen serta langkah yang perlu diambil bagi memantapkan lagi sesi P&P saya yang akan datang.
  2. Berbincang dengan Guru Pembimbing mengenai komen Pensyarah Pembimbing, RPH yang akan datang dan aktiviti yang perlu dibuat. Perbincangan ini meliputi langkah yang akan saya ambil untuk menjayakan setiap sesi P&P yang akan saya lakukan.
  3. Berbincang dengan rakan-rakan seperjuangan (Guru Praktikum – Fredorine, Zahira dan Syakirah) langkah-langkah yang perlu diambil untuk aktiviti dan pengurusan kelas.

Kesimpulan / Refleksi

Alhamdulillah, sesi P&P saya berjalan lancar pada hari ini. Objektif yang saya sasarkan juga tercapai. Aktivit-aktiviti yang dirancang telah dibuat dengan jayanya. Lembaran kerja yang diberikan oleh saya dibuat sehingga siap dan tepat pada masanya. Set induksi dan penutup dibuat mengikut RPH. Rutin harian seperti pemeriksaan kebersihan kuku dan jari dibuat dan kuku murid yang panjang dinasihati untuk dipotong. Murid dinasihati agar menjaga kebersihan tidak hanya kebersihan kuku dan jari. Kebersihan anggota badan yang lain juga harus dijaga. Penerapan unsur terapi juga ada iaitu terapi pertuturan dan fisio. Murid-murid diajak bersenam sedikit sebelum memulakan P&P, pergerakan mengikut lirik dan rentak lagu juga secara tidak langsung merangsang deria motor kasar mereka. Selain itu, dengan melakukan aktiviti P&P dan membuat lembaran kerja juga dapat merangsang pergerakan motor halus dan motor kasar. Terapi pertuturan pula melalui pengucapan mereka ketika menjawab soalan dan membilang nombor. Saya amat berpuas hati untuk sesi P&P pada kali ini. Segala kelemahan yang dikenalpasti oleh Pensyarah Pembimbing saya pada hari ini akan saya perbaiki untuk masa-masa yang akan datang. Semoga pengalaman yang saya perolehi hari ini dapat membantu kerjaya saya akan datang.

Friday, August 7, 2009

Jurnal Minggu Ke-7

Tarikh : 07 OGOS 2009

Peristiwa : Sesi P&P bagi Matapelajaran Kemahiran Hidup

Masa : 08.00 – 09.30 pagi


Pemilihan Fokus:

Pemilihan fokus pada hari ini adalah tentang sesi P&P bagi matapelajaran Kemahiran Hidup.


Menganalisis:

Matapelajaran Kemahiran Hidup Perkebunan merupakan satu matapelajaran yang amat sesuai dan bertepatan bagi murid-murid pendidikan khas. Selain daripada, ilmu pengetahuan yang mereka perolehi, mereka juga dapat kemahiran untuk melakukan aktiviti harian dan meneruskan hidup di masa akan datang. Sesuai dengan cara hidup di kawasan ini, cara hidup bercucuk tanam dan berkebun maka pemilihan untuk memberi input mengenai perkebunan amat bermanfaat.


Perasaan / Bisikan Hati

Hari ini merupakan hari yang amat meletihkan ku. Selepas bersahur kira-kira jam 3.45 pagi aku dan tiga lagi rakan praktikum memulakan perjalanan dari Tuaran ke SK Pekan 2 Ranau. Meredah kabus di pagi hari ini, membuka mata ku betapa sukarnya untuk menimba ilmu pengetahuan, betapa sukar untuk menjadi seorang guru. Terdetik di hati ku, betapa ruginya kawan-kawan yang hanya praktikum di kawasan Kota Kinabalu, tidak dapat pengalaman sebegini. Tapi terlalu awal untuk aku mengadili takdir, sedangkan mungkin mereka juga melalui pengalaman praktikum lain yang lebih hebat daripada yang aku lalui. Masing-masing dengan rezeki masing-masing. Perjalanan dari Tuaran ke Ranau di awal pagi ini kelihatan lengang, hanya kelihatan lori-lori besar yang sarat membawa muatan menyusuri jalan raya. Sesekali berada di belakang lori, membuat aku marah kerana pergerakannya yang lambat. Dengan kepanjangan dan kelebaran kenderaan ini membuatkan aku sukar untuk memintasnya, keadaan jalan raya yang berliku juga tambah menyukarkan lagi. Namun, kenapa aku harus emosi sedangkan dia juga berhak ke atas jalan raya ini. Astagfirullahalzim.. aku beistigfar seketika. Kalau diikutkan rasa hati tidak mahu kami berulang-alik dari Tuaran ke Ranau, namun kerana kami harus menyelesaikan urusan pengisian borang penempatan di IP maka kami harus menurut perintah. Teringat aku pada perkataan “Saya yang menurut perintah” yang wajib ada dalam setiap surat rasmi. Bijaknya mereka yang mencipta ayat itu...

Ketibaan kami di sekolah pada jam 6.49 pagi disambut dengan senyuman beberapa murid yang telah tiba lebih awal. Masing-masing menghulurkan tangan untuk bersalaman dan mengucapkan selamat pagi. Setelah menandatangani rekod kehadiran di pejabat kami mengatur langkah ke kelas Pendidikan Khas memulakan tugas. Rutin harian dimulakan dengan memberus gigi pada jam 7.00 pagi. Semua pelajar melakukan rutin ini. Pada jam 8.30 pagi kami memulakan sesi P&P. Sesi P&P aku pada hari ini adalah bagi matapelajaran Kemahiran Hidup (Perkebunan). Hari ini murid kelas Matahari hanya sebanyak empat orang. Kelas dimulakan dengan ucapan “Selamat Pagi Cikgu”, tapi hari ini ucapan selamat pagi cikgu berbeza sedikit dari ucapan yang lepas kerana ucapan hari ini diucapkan dengan nada ucapan seperti dalam cerita ‘Upin dan Ipin”. Betapa hati aku tersentuh, kerana baru sahaja dua hari lepas aku mempertontonkan video itu kepada mereka dan hari ini mereka telah mengaplikasikannya dalam sesi P&P. Aku tahu mereka semakin bijak, jika diasah dan diasuh mereka pasti boleh.

Kemahiran yang diajar hari ini adalah berkaitan dengan kemahiran mengenal “Tumbuhan Hiasan”. Beberapa gambar yang aku jadikan kad imbasan menarik perhatian mereka. Mungkin warna-warni yang membuatkan mereka tertarik. Setelah mengedarkan kad imbasan, aku menyerahkan benda maujud tumbuhan hiasan kepada mereka. Model tumbuhan hiasan ini aku hasilkan menggunakan polysterin. Aku mahu mereka fokus dan dapat mengenal dengan sebaik mungkin tentang tumbuhan hiasan. Setelah itu, aku membawa semua murid Matahari ke luar kelas. Aku mahu mereka menunjukkan seberapa banyak tumbuhan hiasan yang ada di sekitar sekolah. Aktiviti luar bilik darjah ini amat menyeronokkan. Masing-masing berlumba-lumba menunjukkan tumbuhan hiasan. Walaupun tumbuhan yang mereka tunjukkan bukan tumbuhan hiasan tetapi mereka tidak pernah putus asa. Mereka mengambil perhatian ku dengan ayat “Cikgu ni tumbuhan hiasan”. Setelah itu, aku memberikan mereka lembaran kerja untuk pengukuhan. Sesi soal jawab dan penutup dilakukan seperti yang telah dirancang dalam RPH.


Kesedaran dan Harapan

  1. Saya berharap saya mampu mengubah sikap ke arah yang lebih positif. Saya tidak mahu mengadili sesuatu sebelum mengetahui dengan lebih mendalam tentang sesuatu itu.
  2. Saya berharap untuk sesi yang akan saya dapat membawa murid ke luar bilik darjah lagi. Aktiviti ini amat menyeronokkan. Selain daripada dapat memberi pendedahan kepada mereka mengenai sesuatu dengan lebih jelas lagi, mereka juga dapat menenangkan fikiran.
  3. BBB yang menarik dapat menarik minat mereka untuk belajar. Mereka lebih fokus, lebih banyak soalan yang mereka ajukan. Aku berharap aku akan lebih kreatif lagi dalam menghasilkan BBB.

Tempoh Penyelesaian

- 07 Ogos 2009 – 18 September 2009


Kesimpulan / Refleksi

Alhamdulillah, sesi P&P aku berjalan lancar pada hari ini. Objektif yang aku sasarkan juga tercapai. Aktivit-aktiviti yang dirancang telah dibuat dengan jayanya. Hari ini aku berasa sangat puas dengan semua aktiviti yang aku rancangkan. Mungkin terdapat kesilapan di sana-sini namun ini sudah memadai pada aku. Aku akan berusaha sebaik mungkin untuk mengatasi segala kelemahan dan kekurangan agar sesi P&P aku mudah difahami dan diikuti oleh semua murid.

Saturday, July 4, 2009

KAEDAH TERAPI

Terapi Pertuturan

Dijalankan oleh pakar pertuturan atau individu yang terlatih.

Tujuan:

- Membantu murid yg mengalami kesukaran dalam menyebut perkataan dan berkomunikasi

- Membantu murid menghasilkan bunyi-bunyi bahasa]

- Melatih murid-murid yang menghadapi masalah artikulasi melalui latihan asas tertentu

Aktiviti:

Latihan lisan, tiup belon, tiup kertas di atas air, mengetap bibir dan sebagainya.


Terapi Fizikal (Fisioterapi)

Beri pengaruh besar terhadap kehidupan murid pendidikan khas.

Tujuan:

- Membantu murid-murid yang mempunyai masalah kawalan motor.

- Meningkatkan lagi perkembangan kemahiran motor kasar, motor halus dan perkembangan kecerdasan fizikal ikut keutamaan.


Terapi Carakerja

Merupakan akiviti yg menjurus kea rah membantu individu bermasalah fizikal dan intelek bagi atasi ketidakupayaan semaksima yang mungkin.

Aktiviti:

Kepelbagaian pergerakan dan kebolehan otot-otot untuk membantu murid mencapai kejayaan dalam bidang vokasional / kerjaya.


Terapi Muzik

Tujuan:

- Tenteramkan murid supaya bersedia untuk belajar.

- Merangsang minda.

- Tarik perhatian pelajar.

- Kawal emosi.

Aktiviti:

- Pergerakan bebas mengikut irama muzik.

- Memainkan alatan muzik ikut rentak yang diperdengarkan.

- Menghayati irama.

Tuesday, June 23, 2009

Lucunya "mereka"


Monday, June 22, 2009

Hari Pertama

Pendidikan Khas-Masalah Pembelajaran

SK Pekan 2 Ranau aku datang bertandang… kedatangan aku bukan untuk menyelia.. bukan juga mahu kondem… juga bukan untuk lawatan namun kedatangan aku ke sini untuk menimba pengalaman.. mecurahkan ilmu dan berbakti pada anak-anak istimewa di sini… Menjejakkan kaki ke daerah ini mengingatkan aku pada seseorang…

Hati berkobar-kobar dan penuh debar… Berapa orang kah mereka?... berapa pula jumlah guru yang mendidik mereka?... Berapa pula PPM yang ada?... bagaimana pula penerimaan mereka pada aku?...

Ya Allah kuatkan semangat ku…